Abang Bomba Hebat, Budak Pula Pintar..

LELAKI berdepan detik cemas apabila dua anaknya terperangkap di dalam kereta ketika dia memberhentikan kenderaannya untuk menyerahkan sepucuk surat kepada jirannya di Bandar Sunway, Subang Jaya, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, lelaki terbabit menghubungi bomba memaklumkan dua anaknya berusia tiga tahun dan sembilan bulan terperangkap dalam kereta pada 6.35 petang.

“Sepasukan anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian dan tiba 10 minit kemudian sebelum mendapati seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dan kakaknya berusia tiga tahun terperangkap dalam kereta Mini Cooper dengan enjin masih hidup.

“Memandangkan kereta itu tidak boleh diumpil, anggota bomba cuba untuk mengajar kanak-kanak berusia tiga tahun itu membuka kunci kereta itu.

“Mereka bermain-main dengan kanak-kanak itu menggunakan alat seperti lampu suluh sehingga akhirnya kanak-kanak itu mengikuti arahan anggota bomba untuk membuka kunci kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Shahril Anuar berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk menunjukkan kanak-kanak itu cara untuk membuka pintu.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit suka bermain dengan anggota bomba dan mereka mengambil masa untuk melayannya kerana kanak-kanak agak sukar dijangka perangai mereka.

“Kami berasa lega akhirnya dia berjaya mengikut arahan untuk membuka sendiri pintu kereta itu,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Reply