Meriahnya Perkahwinan Nick Jonas Dan Priyanka Chopra Di India!

PERKAHWINAN antara bintang Bollywood, Priyanka Chopra dengan penyanyi terkenal berasal dari Texas, Amerika Syarikat, Nick Jonas, dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang di Istana Umaid Bhavan di Jodhpur, India, pada Sabtu.

Ikatan antara kedua-dua mempelai itu dilangsungkan mengikut tradisi Kristian dan disempurnakan oleh bapa Nick iaitu Paul Kevin Jonas. Pada Ahad pula, pasangan itu akan menjalani upacara mengikut tradisi Hindu.

Nick dan Priyanka telahpun bertunang empat bulan lalu selepas berpacaran selama setahun.

Kedua-duanya mengesahkan tentang majlis perkahwinan pada Sabtu itu di akaun media sosial masing-masing.

Portal berita BBC memetik kata mereka, bahawa ‘salah satu daripada keistimewaan hubungan mereka adalah penyatuan keluarga, kepercayaan dan budaya’.

Bagi mereka, membuat perancangan perkahwinan yang menggabungkan kekayaan ciri dari kedua-dua dunia itu disifatkan sungguh menakjubkan.

Nick, 26, dan Priyanka, 36, dipercayai mula berpacaran sekitar Mei 2017 sewaktu acara Met Gala. Mereka kemudiannya mengikat tali pertunangan di London kira-kira setahun kemudian.

Di susur masa media sosial, banyak muat naik yang menunjukkan keindahan suasana di sekitar Istana Umaid Bhavan sempena upacara tersebut, termasuklah pentunjukan bunga api besar-besaran seumpama majlis diraja.

Lokasi acara tersebut merupakan antara kediaman mewah terbesar dunia yang kini diuruskan oleh Taj Hotels. Bangunan bersejarah yang mempunyai 347 buah bilik itu mula dibina pada tahun 1928 dan dinamakan sempena nama Maharaja Umaid Singh.

Sejak memenangi pertandingan ratu cantik Miss World pada tahun 2000, Priyanka menjadi wajah penting dalam lebih 50 buah filem Bollywood.

Kejayaannya menembusi tembok Hollywood antara lain dibuktikan dengan komitmennya pada siri televisyen Quantico, selain pernah memegang beberapa watak penting dalam filem Ventilator, Baywatch dan A Kid like Jake.

Nick pula mula meraih populariti merupakan apabila menjadi sebahagian daripada anggota kumpulan bersaudara, Jonas Brothers, bersama Joe dan Kevin, serta mempunyai pengikut yang ramai lantaran populariti filem Camp Rock di saluran Disney Channel.

Sejak meneruskan karier solo, peminat muzik mengingatinya dengan lagu-lagu hit seperti Levels, Jealous dan Chains.

Sumber : Awani

Reply