Pramugari Air Asia Disimbah Kuah Mi Panas Oleh Pelancong China Dalam Pesawat

Cerita mengenai keagresifan pelancong-pelancong China bukan cerita mengejutkan. Terkini, seorang pramugari penerbangan Air Asia telah disimbah dengan semangkuk mi berkuah panas dalam satu insiden semasa dalam penerbangan Jumaat lepas.

Gambar-gambar yang diambil penumpang pesawat itu menunjukkan pramugari yang telah diserang dengan semangkuk mi berkuah panas oleh seorang penumpang wanita.

Penumpang itu dikatakan berang kerana dia tidak mendapat tempat duduk di sebelah teman lelakinya dalam perjalanan tersebut dari Bangkok ke Nanjing, China.

Penumpang-penumpang lain telah mengeluarkan telefon pintar masing-masing dan merakam kejadian yang berlangsung di depan mata mereka, sementara pramugari itu menutup muka dan menjerit kesakitan.

Akibatnya juruterbang memutuskan untuk membatalkan penerbangan, berpatah balik dan mendarat cemas di Bangkok.

Salah satu gambar tersebar melalui laman jaringan sosial Weibo menunjukkan seorang lelaki mengangkat seorang wanita keluar dari kabin dan diiringi pihak berkuasa.

Di lapangan terbang, staf penerbangan berbincang dengan wanita itu dan kumpulannya, dan mereka mencapai persetujuan ‘damai’, walaupun kumpulan pelancong tersebut diarahkan balik menggunakan penerbangan berlainan.

Kejadian mengamuk di udara itu mendapat perhatian di seluruh dunia dan menyebabkan pelancong China digelar ‘barbarians’ oleh media China yang dimiliki kerajaan.

Kumpulan pelancong itu dikatakan akan berdepan hukuman tegas kerana memalukan pelancong dari China secara keseluruhannya.

Pemandu pelancong yang menyertai kumpulan itu kini telah digantung lesen selama setahun.

Kumpulan pelancong itu juga diarahkan membayar denda sejumlah 50,000 baht (RM 6,352.42) sebagai pampasan kerana mencederakan pramugari.

Wanita yang mencampakkan mi panas pula dikenakan denda tambahan 200 baht (RM 25.41).

Sumber : amazingnara.com

Reply